Thursday, April 14, 2011

Bangunlah wahai jiwa...

Tahukah anda apa yang menanti anda hari esok? Tiada siapa dapat jangka bagaimanakah masa depan mereka. Ya, mungkin seseorang itu boleh merancang dan menyusun hala tuju hidupnya, seperti perancangan pelajarannya, kehidupan rumahtangganya, kewangannya, dan penjagaan kesihatannya. Tapi, sejauh mana kita mampu mengawal kehidupan kita? Subhanallah...Segala puji bagiNya kerana mengurniakan nikmat yg tidak pernah putus. Jadikanlah aku hamba yang bersyukur ya Rabbal A'lamin...Ingin saya kongsikan dengan para pembaca tentang satu peristiwa dalam hidup saya yang telah banyak mendidik jiwa.


Ketika saya di tahun dua fakulti Perubatan, saya telah dikejutkan dengan berita bahawa seorang senior perempuan di tahun tiga telah didapati menghidap kanser sel darah putih, atau dalam bahasa saintifiknya, 'Leukemia'. Ketika itu, saya masih belum mengetahui secara mendalam tentang jenis-jenis penyakit kanser darah, maka apabila diberitahu dia menghidapi sejenis penyakit kanser darah dengan nama 'Acute Myeloid Leukemia', saya tidak dapat gambarkan tahap keseriusan penyakit tersebut. Hari berganti hari, saya mendapat berita keadaan terkininya dari khabar-khabar angin di kalangan rakan-rakan sekelas. Saya tidaklah begitu mengenalinya, tapi saya berasa tersentuh bila diberitakan dia adalah seorang gadis yang sangat baik akhlaknya, lemah lembut, malah cemerlang juga dalam pelajarannya. Subhanallah...

Pelbagai perkara berlegar di fikiran tentangnya, hinggalah saya berpeluang menziarahinya sendiri di PPUKM. Walaupun ziarah dilakukan bersama beberapa orang teman, tidak semua dibenarkan menemuinya, untuk mengelakkan jangkitan dibawa masuk ke biliknya. Kanser darah itu telah menyebabkan imuniti badannya sangat lemah, memudahkan dia mendapat jangkitan. Akhirnya saya terpilih untuk mewakili teman-teman saya berjumpa dengannya. Saat memasuki ruang wad, saya bertanyakan pada jururawat bertugas, di manakah dia? Jururawat menunjukkan isyarat kedudukan bilik senior itu, sambil memberi peringatan agar saya memakai mask, dan mencuci tangan sebelum masuk. Ketika itu, saya berasa agak aneh apabila melihat perubahan raut wajah jururawat-jururawat yang berada di situ ketika saya menyebut namanya. Seolah-olah ada sesuatu yg tersimpan di lubuk hati mereka...mereka kelihatan...sedih.

Maka saya meneruskan perjalanan ke biliknya. Saat memasuki bilik itu, kelihatan seorang wanita separuh usia di sisi katil pesakit. Saya bersalaman dan berkenalan dgn wanita itu. Itulah ibunya...wajahnya tersenyum dan pertuturannya mesra..tapi dapat dirasakan disebalik senyuman itu, ada tersembunyi kepahitan yang teramat sangat...Saya pun bertegur sapa dengan senior saya itu. Agak kekok pada mulanya..sebab kami memang tak berapa kenal, dan tak pernah bertegur sapa sebelum ini...hanya ingat muka dan tahu nama saja. Perbualan kami ringkas sahaja. Saya turut bersembang bersama dengan ibunya... Sambil-sambil bersembang, saya terlihat di atas meja sisinya terdapat senaskah Al-Quran, dan sebuah buku. Buku itu berjudul 'La Tahzan' tulisan Syeikh Dr. Aidh Al-Qarni..

Setelah beberapa ketika, saya meminta izin untuk beransur pulang. Mengikut apa yang saya tahu, adab menziarahi orang sakit antaranya bawa buah tangan, dan jangan lama-lama. Setelah menyerahkan buah tangan yang dibawa bersama, saya keluar dari bilik itu bersama-sama ibunya. Lalu kami bersalaman. Ibunya membalas dengan pelukan dan genangan air mata. Pelukannya erat. Saya hanya dapat katakan padanya, "Banyakkan bersabar makcik, ujian Allah sebab Allah kasihkan makcik sekeluarga..Allah nak bagi pahala yang besar, insyaAllah.." Ibu yang tabah itu menyatakan penghargaan buat kami menziarahi anaknya yang dikasihi.. Dalam perjalanan pulang, saya tidak dapat lupakan wajah senior saya itu. Ketika berbicara, dia hanya tersenyum. Masih mampu ketawa, ceria bila saya cuba-cuba bergurau dengannya.. Namun, realiti keadaan kesihatannya dapat dilihat dari lebam-lebam di tubuhnya, dan keadaannya yang agak kurus dan lemah..Saya hanya mampu berdoa agar Allah memelihara dan merahmati dia dan keluarganya...


Beberapa minggu kemudian, ketika saya sedang berehat di hostel, saya dikejutkan dengan satu SMS dari seorang rakan. Dia sudah pergi menghadap Rabbnya...Cepatnya dia pergi. Hanya beberapa bulan berlalu sejak diagnosis penyakitnya dibuat. Beberapa ketika, cuaca yang tadinya cerah terik, hujan lebat selebat-lebatnya...tanpa guruh atau petir. Seolah-olah, bumi menangisi pemergiaannya..seorang Syuhada' insyaAllah...dia telah pergi, di saat dia berada di medan Jihad menuntut ilmu...semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya..Al-Fatihah buat si dia..majlis tahlil keesokannya melihatkan wajah-wajah sugul warga fakulti. Kami telah kehilangan satu ahli keluarga, sebuah permata berharga...

Setelah peristiwa itu berlalu, pengajian di fakulti diteruskan seperti biasa. Saya mendapat berita tentang sejarah perjalanan hidupnya. Beberapa hari sebelum dia mengetahui dia menghidap kanser itu, dia telah membentangkan mengenai tajuk yang sama di dalam kelasnya. Malahan, mendapat anugerah pembentang terbaik. Siapa sangka, dia akhirnya pergi disebabkan penyakit yang dia bentangkan itu..SubhanAllah, penyusunanMu... Tiba saat saya mendalami mengenai penyakit itu di dlam kelas. Saya dapati bahawa rupanya, penyakit itu amat serius. Menghidapinya seolah-olah maut itu pasti.. Dalam kes senior saya itu, penyakitnya sangat agresif, dan dia tidak bertindak balas terhadap rawatan kemoterapi !

Segalanya akhirnya membawa erti..perubahan wajah jururawat itu, pelukan erat ibunya... Alangkah tabahnya dia dan keluarganya menghadapi dugaan dan ujian Allah! Pastinya, di saat saya bertemunya dulu, dia sudah mengetahui ajalnya sudah hampir. Namun dia masih mampu tersenyum...Terlintas di fikiran saya, adakah saya mampu jadi sepertinya jika saya turut diuji begitu? Bersediakah diri ini menghadap Rabbul Jalil??

Satu ketika di perpustakaan, setahun kemudiannya, ketika saya membelek buku-buku di rak, terjumpa sebuah buku. Saat diselak muka pertama, kelihatan namanya... Ada nota tulisan tangan di bawah nama itu. Rupa-rupanya buku itu miliknya, diwakafkan kepada perpustakaan setelah pemergiannya. Terasa seolah-olah mimpi. Tapi ia satu realiti yang telah benar-benar berlaku. Dahulunya, dia juga sepertiku. Belajar di sini, memegang buku ini...pelajar yang gigih berusaha untuk lulus menjadi seorang doktor. Tapi, kini dia telah pergi selamanya. Begitu mengejut. Tiada siapa sangka masa depan seseorang yang seolah-olah dapat diramalkan, berubah sekelip mata..Terasa diri sunggu kerdil. Besarnya kekuasaanMu, penyusunanMu...


Semenjak peristiwa itu, setiap kali dirasakan diri ini leka, saya cuba mengingati kembali kisah ini. Ajal maut di tanganNya.. Sampai masanya, kita sendiri akan 'berjalan kaki' ke tempat kematian kita... Adakah kita semua pasti kita bersedia unuk menemuiNya saat itu? Hanya rahmatNya dan redhaNya dapat menyelamatkan kita..sedarlah wahai diri...usah leka lagi...

No comments:

Post a Comment