Friday, June 10, 2011

Bersedia untuk Chemotherapy! ^_^

Assalamualaikum kepada para pembaca. Semoga kita semua tidak lupa untuk bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah pada kita. Nikmat yang tak mungkin dapat kita hitung. Semoga Allah beri kita kemampuan untuk melihat segala perkara yang berlaku dalam hidup dari sudut tarbawi dan positif, dan dapat mendekatkan diri kita padaNya, tidak kira ia baik atau buruk.

Hmm...Chemotherapy. Perkataan yang menakutkan. Bagi yang belum tahu maksudnya, 'chemotherapy' atau 'kemoterapi' dalam bahasa melayu, adalah gabungan perkataan 'chemical' yang bermaksud 'bahan kimia', dengan 'therapy' yang bermaksud 'rawatan'. Ia adalah sejenis bentuk rawatan perubatan yang menggunakan bahan-bahan kimia tertentu yang disalurkan ke dalam badan melalui salur darah, atau suntikan dalam otot, atau bawah kulit, pada dos tertentu. Ia merupakan antara rawatan rutin bagi pesakit kanser.

Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia yang digunakan dalam 'cancer chemotherapy'. Disebabkan bahan-bahan tersebut secara kimianya mampu bertindak membunuh sel-sel badan manusia, hampir kesemuanya mempunyai kesan-kesan sampingan yang ketara. Pemilihan jenis dan dos bahan kimia yang akan digunakan bergantung kepada jenis dan keseriusan tahap kanser tersebut.

Alhamdulillah. Allah telah pilih saya untuk melalui pengalaman baru lagi. Selepas kajian cytology dibuat atas ketumbuhan yang dibedah kali lepas, doktor berpendapat saya harus jalani rawatan kemoterapi sebanyak empat cycle. Setiap satu cycle tempohnya tiga minggu. Jadi, jumlah tempoh rawatan kemoterapi yang bakal saya jalani ialah tiga bulan. Bermula minggu depan, saya bakal jalani chemotherapy menggunakan 'regime BEP', yang membawa maksud gabungan tiga jenis bahan kimia. Bleomycin, Ethopoxide, dan Cisplatin.

Mendapat berita perlu jalani rawatan chemotherapy ini, tidak mengejutkan saya. Saya sudah dapat jangkakan. Mulanya, memang saya agak takut. Ini kerana, saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku dan bagaimanakah tubuh saya akan bertindakbalas. Fear of the unknown, memang sukar dielakkan. Kebanyakan orang merasakan chemotherapy itu sesuatu yang dasyat dan menyakitkan. Saya tidak terkecuali. Malah, antara sebab utama pesakit kanser melarikan diri dari menjalani rawatan kerana takutkan kepada chemotherapy. Tindakan mereka mencari rawatan alternatif dan meninggalkan terus rawatan konvensional menyebabkan banyak kes dimana pesakit kanser yang menghidap kanser peringkat awal pada mulanya, akhirnya merebak ke peringkat lebih tinggi hingga tidak dapat diselamatkan lagi.

Namun, kini saya pilih untuk tidak berasa takut, kerana tiada faedahnya untuk takut. Perasaan takut boleh memusnahkan diri seseorang. Saya yakin kebanyakan mereka yang takut itu berasa takut kerana tidak cukup maklumat mengenai perkara itu. Mereka takutkan sesuatu yang tidak pasti. Maka, saya mula membaca pelbagai artikel berkaitan chemotherapy. Saya cuba memandang keadaan ini dari sudut positif. Saya diberitahu oleh beberapa orang doktor bahawa ubat-ubatan chemo yang bakal saya ambil ini dalam kategori yang agak kuat. Dan kesan-kesan sampingannya juga ketara, antaranya keguguran rambut, perubahan warna jari kepada kehitaman, loya dan muntah-muntah, lemah badan, dan rendah imuniti badan.

Imej diri saya yang botak dan lemah muncul dalam fikiran. Teruk sangatkah keadaan itu? Saya teringat pengalaman saya semasa belajar dulu, saya pernah berkenalan dengan seorang pesakit kanser, umurnya hampir sebaya dengan saya, menghidapi 'Hodgkin's Lymphoma', sejenis kanser darah putih. Rupa luarannya begitulah. Tapi dia sentiasa tersenyum, dan positif dengan keadaan dirinya. Saya ingin jadi begitu juga. Ada berjuta-juta orang di dunia ini pernah dan sedang jalani rawatan chemoteraphy. Mereka boleh laluinya dengan baik, malah ada yang dapat kembali sembuh seperti sediakala. Mereka boleh lakukannya, tentu saya juga mampu!

Saya anggap pengalaman ini sesuatu yang sangat berharga. Saya bertuah terpilih antara semua rakan sekelas saya yang lain, untuk lalui pengalaman ini. Allah nak beri saya rasa bagaimana menjadi seorang pesakit kanser, supaya saya dapat menjadi seorang doktor yang lebih baik nanti. Mohon doa para pembaca untuk mengiringi perjuangan saya. Semoga Allah beri kekuatan...Wallahua'lam.   

6 comments:

  1. Ummu, moga terus diberi kekuatan..
    Doa kami buat Ummu tak pernah putus..

    ReplyDelete
  2. ummu.....
    doaku moga dirimu terus cekal...

    ummu kuat! moga Allah beri kelapangan dn memudahkan segalanya.. moga cepat sihat.

    ReplyDelete
  3. Ummu. Im praying 4 u!
    Proud to be ur friend!
    Allah wif u insyallah!

    ReplyDelete
  4. Pengalaman itu guru terbaik. Sebagai pelajar dan bakal pengamal perubatan, pengalaman menjalani segala jenis rawatan adalah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilalui oleh pengamal perubatan yang lain. Ia akan mendidik hati kita untuk bergantung sepenuhnya kepada Allah swt. Walaupun ramai yang mencari kaedah alternatif, perkara hidup dan mati sebegini tidak boleh diperkecilkan. Kami bersedia menyerahkan segala harapan kepada Allah swt ... dan menunggu dengan sabar setiap kali datang ujian Allah yang pasti menguji kekentalan iman dan keikhlasa iabadah kami. Wallahu A'alam!

    ReplyDelete