Sunday, June 5, 2011

Berbelanja cara islamik

Assalamualaikum kepada para pembaca yang dihormati. Apa khabar iman anda hari ini? Semoga hati-hati kita masih kekal dilimpahi cahaya rahmat dan kasihNya, dan dengan iman dan taqwa yang masih utuh, terpancar dari akhlak kita seharian.

Kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda perihal 'Berbelanja'. Setiap individu mempunyai pendekatan yang tersendiri apabila berbicara soal pengurusan harta. Mereka yang dianugerahkan Allah harta yang banyak mungkin berbeza perspektif dan pendapat dalam soal berbelanja berbanding dengan mereka yang sederhana atau yang dilahirkan dalam keluarga miskin. Namun, islam itu cukup indah. Sudah diberi garis panduan yang sesuai untuk semua manusia, tidak kira apa latar belakangnya,  untuk menguruskan kewangan mengikut cara yang terbaik dan diredhai Allah.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Furqan, ayat 67;

"Mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; perbelanjaan mereka adalah sederhana".

Ayat ini menyatakan tentang budaya bersederhana sebagai cara yang terbaik dalam kita membelanjakan harta. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam menjadikan bersederhana sebagai budaya kita. Lebih-lebih lagi bila kita dikurniakan Allah kemewahan dan kesenangan. Ini kerana, manusia cenderung menjadi pencinta harta. Apa itu 'Pencinta harta'? Ia berbelanja atas dasar keinginan dan bukan atas keperluan semata-mata. Keinginan kepada sesuatu itu pula ditunggangi dorongan nafsu dan bisikan syaitan untuk mempamerkan kemewahannya pada orang lain.


Contohnya, dalam pemilihan tempat kediamannya, kenderaannya, pakaiannya, perhiasan dirinya, jam tangan, telefon bimbit, kasutnya, dan lain-lain. Malah, apabila ingin berbelanja, dia akan memikirkan dirinya itu seorang yang berharta, maka barangan yang dibeli haruslah menepati status dirinya itu. Syaitan mula mengabui pemikirannya dengan meniupkan rasional tindakannya. " Kau kan ada duit, mampu nak beli, beli aje lah." Selain itu, " Barang paling mahal mestilah paling berkualiti, barulah tahan lama". Itulah bijaknya syaitan menghasut manusia, hinggakan barangan yang harganya tidak masuk akal pun sanggup dibeli demi jenama yang dikatakan terkenal seluruh dunia.

Sesungguhnya, apabila seorang mukmin berbelanja, beliau bijak mengendalikan kemahuan dan mengawal keinginan. Pembelian dibuat lebih berdasarkan kepada keperluan.  Apabila ingin berbelanja, cuba tanyakan diri anda soalan-soalan berikut;

1. Apakah yang paling bermanfaat dari pembelian barang itu?

2. Perlukah saya beli barang ini?

3. Bermudharatkah saya jika saya tidak mempunyai barang ini?

4. Adakah barang ini akan membuatkan saya ada perasaan sombong atau riya'?

5. Adakah fungsi dan kualiti barang ini berbaloi untuk dibeli dengan harga ini?

Barangan apa pun, ada harga-harga yang pelbagai, mengikut jenama dan kualiti barangan. Contohnya, dalam membeli kasut untuk bersenam. Jika nak dilihat kasut-kasut yang ada di pasaran itu, wajarkah kita membeli kasut berharga setengah ribu ringgit sedangkan kita hanya perlukan kasut itu untuk bersenam? Sedangkan, kualiti yang diperlukan pada kasut senaman boleh didapati pada harga seperlima dari itu. Ingatlah pada mereka yang tidak bernasib baik di negara-negara miskin seperti afrika. Memiliki sepasang selipar jepun pun satu kemewahan!

Bukanlah saya nak menyuruh anda beli barang yang paling murah, tapi cukuplah jika kita memilih sesuatu barangan itu bila ia dapat mencapai fungsinya, tahan lama, dan tidak menyusahkan kita untuk menjaganya. Dan bila kita gunakan, ia tak buat kita rasa sombong atau riya' dan memalitkan noda pada hati-hati kita. Jika dibiarkan, lama-kelamaan, noda itu semakin bertambah dan menggelapkan hati, akhirnya mematikannya. Dan, pada hati yang gelap, cahaya Allah sukar sampai padanya.

Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Israk, ayat 27 dan 28;

"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada tuhannya. Dan jika engkau berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lemah lembut".

Jika asyik biarkan diri dikelilingi golongan berada dan berstatus, sudah tentu kita mudah terikut-ikut dengan trend berbelanja besar dan mengejar barangan kerana jenama dan fesyen, serta barangan yang dianggap moden dan terkini. Banyakkanlah bersama mereka-mereka yang kurang berharta dari kita supaya kita biasa dengan kesederhanaan. Membiasakan diri melihat kesusahan orang lain juga membuatkan hati kita lebih lembut. Semoga Allah mengurniakan kemampuan pada kita untuk terpelihara dari sifat boros dan perbuatan sia-sia. Wallahua'lam...  

(Sumber rujukan; Bab 1,Erti Hidup Sebelum Mati, Indahnya Kematian, Bisri M.Djaelani, PTS Millenia publications)

No comments:

Post a Comment