Tidak lama dahulu, aku melalui koridor-koridor hospital dan berjalan di dalam wad dengan berkot putih, stetoskop bergantungan di leher, dan menjinjit buku-buku nota kecil. Seorang pelajar perubatan. Seorang bakal doktor. Namun di mata pesakit, terutama yang datang dari luar bandar, kami tidak banyak bezanya dengan doktor-doktor lain. Mereka merelakan saja diri mereka menjadi 'mangsa' kami. Disuntik jarum besar dan kecil, diambil darah dari vena dan arteri, dicucuk branula, diperiksa bahagian-bahagian tubuh mereka. Dengan sabarnya mereka melihat dan tersenyum saja dengan karenah kami, dikala kami tersalah dan tersilap.
Sebelum ini, aku belum pernah merasai menjadi seorang pesakit di hospital. Kini telah kulalui sendiri pengalaman itu sepanjang lapan hari aku di Hospital Sungai Buloh menjalani rawatan. Sungguh, pengalaman ini sangat berharga buatku. Aku kini faham mengapa ada sesetengah doktor-doktor pakar sangat menitik beratkan adab seorang doktor bersama pesakitnya. Aku masih ingat lagi kata-kata seorang pensyarah senior yang ku sangat hormati;
" Doctors are not gods and angels, they are servants of their patients. Treat them with dignity, humility, and respect no matter who they are or where they are from…"
Seorang doktor itu bukanlah tuhan atau malaikat, mereka adalah orang suruhan kepada pesakit mereka. Layanilah pesakit anda dengan bermaruah, rendah diri, dan hormat, walau siapa dan dari mana mereka datang…
Kini aku benar-benar fahami maksud kata-kata ini. Bila diri ini pula menjadi 'mangsa' tusukan jarum-jarum, diambil darah dan sebagainya, kini ku fahami perasaan itu. Kepada sahabat-sahabat seperjuanganku, tahukah anda, tusukan jarum berwarna hijau itu sangat menyakitkan berbanding biru? Aku dah rasainya sendiri…
Ku ingati kembali kata-kata mereka;
Doktor houseman A : " Ala…patut la kau susah sangat nak ambil darah patient, kau guna biru kenapa? Kecik sangat, lambat la…setiap kali kau guna jer jarum hijau, senang jer dapat banyak, macam aku buat selalu.."
Doktor houseman B : " Adik kalau nak ambil darah patient, guna warna biru tau. Biar slow takper, kita sabar ambil asalkan patient tak sakit. Lain la adik memang nak ambil banyak sampai 20cc.."
Yang menyedihkan aku, houseman A adalah muslim, houseman B pula non-muslim, namun beliau punyai syaksiah yang cukup baik. Adakah beban kerja membolehkan houseman A meletakkan 'nak cepat dan mudah' sebagai alasan untuknya tidak memberi layanan terbaik kepada pesakit? Aku pasti, doktor houseman A itu tak pernah rasa kena suntik dengan jarum hijau...
Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi, tahukah anda disuntik 'Branula' itu juga sangat sakit? Aku dah rasainya sendiri...berkali-kali sepanjang di hospital. Setiap kali aku perlu dipasang branula semula kerana sudah 'block', kesakitan yang ku rasai mengingatkan aku kepada semua pesakit-pesakit yang pernah menjadi mangsa pemasangan branula oleh tanganku yang kurang mahir. Aku pernah cuba dan gagal dan cuba semula, namun pesakit itu hanya tersenyum. Semoga dengan kesakitan yang ku rasai dapat menebus dosaku menyakiti pesakit-pesakitku dahulu.
Bertenang...mudah saja mereka memberi arahan...Bolehkah anda bertenang jika jarum sepanjang 5 cm ingin menusuk tulang belakang anda?? Aku cuba untuk bertenang, namun...dapat ku rasakan tusukan jarum pertama, aduh! Sakitnya Allah saja yang tahu...tusukan tidak kena pada tempatnya, gagal. Aku disuruh bertenang lagi.. Tusukan kedua...sakitnyaa...gagal lagi... Perasaanku ketika itu sukar di tafsir dengan kata-kata...Aku teringat dulu diriku bebas membuat pilihan dalam apa-apa perkara...kalau tak suka, tak payah buat..mudah saja... kini aku tersepit. Aku sangat tak suka disuruh bertenang dan disuntik tulang belakangku! Rasa seperti ingin lari saja dari meja bedah itu. Tapi, aku tiada pilihan. Aku perlu bertenang, kalau tak gagal lagi tusukan kali ini...
Bertenang ummu..ingat Allah...Air jernih mengalir dipipiku dan esakan kecil kedengaran tanpa rela...aku pasrah ya Allah...Tusukan ketiga berjaya..Alhamdulillah. Aku sangat bersyukur padaNya bila pakar bius berkata.." Ok adik, dah siap epidural.." Terasa jiwaku lapang...lega teramat. Bius pembedahan pun dimulakan. Aku dibius seluruh badan dan ditidurkan sepenuhnya... Empat jam pembedahan berlalu dengan pantas. Aku tersedar semula dengan pedih luka pembedahan di perutku…Alhamdulillah. Pembedahanku berjaya..
TO BE CONTINUED….
No comments:
Post a Comment