Sejak saya disyaki menghidap kanser, ramai sahabat, kenalan rapat, dekan dan pensyarah universiti, ahli keluarga, rakan-rakan umi dan abah, jauh dan dekat, datang menziarahi saya tidak kira di hospital mahupun ketika sudah pulang ke rumah. Bersama mereka yg datang, ada yang menimbulkan kisah-kisah tentang kenalan-kenalan mereka yang menghidap kanser. Saya yakin, tujuan mereka bukanlah menakutkan saya yang sedang bertarung dengan perkara yang sama, tetapi lebih kepada ingin berkongsi cerita tentang perjalanan hidup dan kesudahan yang terjadi kepada penghidap-penghidap kanser tersebut.
Benar, banyak juga iktibar dan pengajaran yang boleh di ambil dari kisah-kisah itu. Tetapi, saya boleh katakan majoriti kisah-kisah mereka berakhir dengan kematian. Ini membuatkan saya sendiri merasa kematian begitu dekat dengan diri ini. Pada mulanya saya diberitakan tentang penyakit yang dihidapi, doktor telah meyakinkan saya bahawa penyakit saya ini ada lebih 80% peluang untuk sembuh sepenuhnya. Mulanya, saya berasa agak tenang. Tetapi, bila difikirkan semula, ada lagi 20% yang akan berakhir dengan kematian. Jadi, saya tidak seharusnya begitu yakin yang saya akan tergolong dalam 80% itu.

Hati diruntun rasa ingin tahu yang kuat. Bagaimanakah caranya ingin merasai indahnya mati? Dan bukan merasa risau dan takut? Dengan izin Allah, satu hari, umiku sayang menghulurkan sebuah buku. Buku itu muka hadapannya menunjukkan gambar pemandangan, tetapi bila diteliti, rupanya ia dari perspektif seseorang yang sedang berada di liang lahad. Namun, disebalik lubang tanah yang dalam itu, terdapat pemandangan yang indah. Menarik design covernya. Tajuknya lagi menarik. "Indahnya Kematian", nukilan seorang penulis dari yogjakarta, indonesia, bernama Bisri M.Djaelani. Menarik sungguh buku ini. Saya membuka beberapa helain pertama, membaca prakata dan sinopsisnya.
Alhamdulillah. Allah memberi ilham pada umi untuk membelikan buku ini. Ia membicarakan tentang cara-cara, berpandukan Al-Quran dan As-sunnah, untuk seseorang mukmin memperoleh 'Husnul Khatimah'... pengakhiran yang baik. Gaya bahasa yang santai dan mudah difahami, penceritaannya disulami kisah-kisah sirah yang penuh iktibar dan teladan... juga menceritakan apa yang menanti kita selepas kematian.. Ia juga bukan sekadar cakap-cakap kosong, tetapi adalah hasil rujukan dari kitab-kitab tulisan para ulama' mu'tabar... Kini, saya dalam proses mengkhatamkan buku ini. Mungkin di lain waktu saya akan berkongsi dengan anda intipatinya. Semoga saya, dan anda, juga memperoleh 'Husnul khatimah', insyaAllah....
No comments:
Post a Comment