Tuesday, May 24, 2011

Hari Bergembira bertukar Menjadi Hari Penyesalan

Assalamualaikum para pembaca yang dikasihi, semoga sentiasa di bawah rahmat dan kasihnya. Memandangkan cuti sekolah dah dekat, ramai betul merpati-merpati dua sejoli akan disatukan. Bertunang...bernikah...Alhamdulillah. Semoga dengan pernikahan ramai sahabat-sahabatku ini, Allah limpahi fakulti kita dengan cahaya keberkatannya.

Kerana kehangatan isu walimah ni, saya terpanggil untuk berkongsi dengan anda satu artikel yang sangat menarik, dipetik dari satu blog yang ditulis oleh seorang ustaz yang bertauliah. Tapi, sebelum anda membacanya, saya harus memberi AMARAN kepada anda, artikel ini mungkin menimbulkan rasa tidak senang kepada segelintir pihak, terutama yang telah dan baru melansungkan majlis walimatul urus. Ini kerana, isu yang dibincangkan mungkin mengenai batang hidung anda. Walaupun begitu, saya tetap memilih untuk mengetengahkan isu ini yang saya rasa sangat penting untuk difahami terutama oleh mereka-mereka yang bakal melangsungkan pernikahan.

Terimalah kebenaran walaupun ia sangat pahit. Selamat membaca...

1.0 Pendahuluan

Bernikah adalah sesuatu yang menggembirakan. Jarang orang tidak bergembira pada hari pernikahan mereka. Masakan tidak, gelaran raja sehari disandang dan dijulang. Bagi pasangan yang sudah lama bertunang, detik persetujuan para saksi semasa majlis pernikahan amatlah melegakan! Kadang-kadang, keluar air mata kegembiraan dari pasangan pengantin kerana terlalu gembira telah menyempurnakan sebahagian agama dan menuruti sunnah nabi. Seperti mana yang disabdakan oleh Nabi :

النكاح سنتى فمن رغب عن سنتى فليس منى 

"nikah itu adalah sunnah ku, jika sesiapa yang menolak sunnah ku, maka ia bukanlah dari golonganku"

Namun awas, jangan disangka kegembiraan menuruti sunnah nabi itu membuka jalan ke syurga semata-mata, kerana ia juga mampu mengheret kita masuk ke dalam jurang neraka yang dalam lagi menakutkan, jika ia tidak dilaksanakan seperti yang diperintahkan.


2.0 Menangis bertukar gembira


Apabila dua merpati sejoli di ijab kabulkan, maka bergembiralah kedua-dua keluarga, dan menangislah sang syaitan. Menangisnya sang Syaitan adalah kerana tertutupnya peluang kepadanya untuk memujuk si lelaki dan si perempuan melakukan zina.

Tapi, adakah anda menyangka syaitan yang menangis melihat dua orang yang bernikah itu akan lari merajuk membawa diri? Tidak sama sekali, di hadapan sana ternanti banyak lagi perangkap untuk mereka. Satu persatu perangkap itu mengena, dan tangisan syaitan terhenti dan diganti pula dengan ketawa yang terbahak-bahak!




Sang Syaitan ketawa kerana geli hati melihat si pasangan yang terlalu gembira hingga terlupa segala ajaran agama walaupun kedua-duanya mengaku sebagai pejuang agama. Habis ditolak tepi agama yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Syariat diletak tepi, adat yang sesat dijulang tinggi. 
Sang Syaitan gelak terbahak-bahak melihat aksi manja si isteri menyuapkan nasi ke mulut si suami yang hanya layak menjadi koleksi peribadi mereka berdua menjadi tontonan semua orang. Habis ditolak tepi perasaan malu. Malah dibanggakan pula kenangan itu dengan meng'upload'kan pula di dalam facebook, untuk tatapan seluruh dunia. Kalau boleh, biar Presiden Amerika Barrack Obama tahu dia berkahwin hari itu dan makan bersuap dengan bangga.

Sang Syaitan bertambah galak gembira ketawa melihat si suami dengan ghairah mencium kepala si isteri tanpa menghiraukan puluhan mata yang menyaksikan adegan sulit ini. Malah bangga pula mengulang adegan ini apabila diminta photographer upahan dari kedai yang berdekatan. Diulang tayang tanpa segan, walaupun si muslimah itu dahulunya terkenal sebagai seorang yang paling pemalu dalam dunia ini.


Sang Syaitan hampir pecah perut suka sambil berguling-guling dengan adegan romantik si suami dan si isteri yang bergambar di tepi pantai, atas pokok, di sawah padi, dalam air, atas katil, tepi rumah dengan pelbagai pose yang difikirkan menarik. Entah mana silapnya, suara lantang si suami yang beriya-iya mahu menegakkan daulah islamiah dalam liqa dan usrah yang dikendalikannya, langsung tidak berbunyi bila gambar isterinya puas di raba oleh kamera orang yang bukan muhrim. Segala sisi bentuk isterinya habis dilapah oleh si photographer yang kemudiannya menguploadkannya di laman web untuk ditatap oleh seluruh isi dunia.

Sang Syaitan kembali suka kerana berjaya memujuk si isteri yang terkenal dengan kepakaran membimbing usrah dan tamrin serta kuat berdakwah untuk bersolek dengan tebal. Habis hilang prinsip bersolek hanya untuk suami yang dijajanya kesana kemari di alam kampus dahulu. Kening dicukur sedikit, gincu dilanyak atas bibir, eye shadow, blusher, powder, maskara dan segala macam perhiasan bertenggek di mukanya. Itu belum dicampur dengan minyak wangi yang menarik perhatian segala makhluk yang ada di persekitarannya. Bila ditanya mengapa berbuat demikian, jawapan acuh tak acup diberikan.. mak yang suruh, nak buat macam mana.


Itu belum dikira dengan majlis persandingan serta suasana majlis perkahwinan yang begitu mewah dan membazir. Syaitan kembali tersenyum gembira.

3.0 Gembira bertukar Menyesal

Kadangkala, apabila sudah menjadi kebiasaan kita melakukan sesuatu perkara, tiba-tiba datang pula satu peringatan memberitahu bahawa kebiasaan kita itu tidak benar, menyeleweng dan jauh dari panduan agama... kita akan cepat melenting, marah dan menyampah.

Apatah lagi sememangya selama ini terkenal sebagai juru dakwah yang popular. Berceramah pula di masjid dan surau. Maka pasti si juru dakwah itu segera mencari sebanyak mungkin kitab dan dalil untuk menghalalkan kebiasaan yang dia lakukan itu. Ahh.. mana boleh pendakwah seperti aku ditegur, malulah aku.
Maka dicapailah Mr Google mencari dalil menghalalkan perbuatannya. Bila tidak bertemu, dicarikan pula pendapat-pendapat yang 'gharib/asing' walaupun dari sumber-sumber yang tidak diyakini, asalkan mampu untuk menjadi hujah pelepas dari teguran yang diberikan.

Janganlah bersikap demikian ya akhi wa ukhti. Renungkan seketika majlis perkahwinan itu. Benarkah itu majlis yang dirahmati Allah ataupun dibenci oleh Allah. Jawablah dengan hatimu berpandukan kepada Nas yang benar lagi sahih. Sengaja tidak ditaburkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam artikel ini (walaupun dalilnya terlampau banyak) supaya anda dapat menilai dengan penuh berhati-hati majlis pernikahan itu dengan hati nuranimu yang suci itu.
Jangan sampai pada suatu hari nanti, kegembiraan yang dinikmati bertukar menjadi satu penyesalan yang tidak terperi. Tetkala seluruh harta, sahabat handai dan kaum keluarga tidak lagi mampu menjadi pendinding dan hujah bagi dirimu... yang ada hanyalah iman yang senipis bawang itu. Mampukah untuk menepis dosa bertimbun yang tiba kerana kealpaan mengikuti arahanNya di hari pernikahan tersebut?
Ingatlah kembali firman Allah dalam Surah Syuaara ayat ke 88 : 

"iaitu di hari dimana tidak berguna harta dan anak-anak".

Adakah berani kita berbetah pada hari tersebut dengan hujah yang rapuh seperti mengatakan terpaksa mengikut permintaan ibu dan ayah , kaum kerabat serta sahabat handai, walaupun kita tahu permintaan untuk bersolek tebal, bersanding di hadapan orang ramai, adegan mencium, bergambar dengan posing-posing yang sulit, itu semua jauh dari panduan Islam. Namun, jika anda yakin mampu berhujah dan memberikan alasan di hadapan tuhan Rabbul Jalil, silakanlah melakukannya...

4.0 Penutup

Tugas seorang pendakwah ialah menyampaikan ilmu yang dipelajarinya untuk kembali kepada Allah. Tidak lebih dari itu. Samada perkara yang disampaikannya mampu mengubah orang yang mendengar dan membaca, itu bukannya kerja pendakwah. Itu kerja Allah.

Jangan pula timbul celaan dan kata nista selepas ini kepada orang yang menyampaikan seruan Islam ini, hanya kerana terkena pada batang hidung sendiri. Apatah lagi mengherdik dan memerli dengan kata-kata yang pedih lagi menyakitkan seperti , "Ko tak menikah lagi, bolehlah sembang. Tengok ar nanti bila ko kahwin...Macamana pula gayanya!" sambil tersenyum sinis bercampur geram.

Dan jangan pula bertindak mendoakan agar si pendakwah turut terjerumus dalam dosa yang sama supaya bila si pendakwah itu terbuat dosa yang sama, maka bolehlah diejek dan ditempik sekuat mungkin hingga di dengar seluruh penghuni dunia " Ceh, cakap orang lebih, kau pun sama aje!" dan berlalu dengan perasaan puas dan gembira.... kerana dendamnya telah berbalas.

Sesungguhnya, Aku hanya menyampaikan peringatan dari Allah dan risalah-Nya.Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (Q 72 : 22)


Semoga kita dapat menilai dimanakah 'position' kita sebagai Penuntut ilmu ad-Deen merealisasikan sunnah yang telah dipelajari dan dihayati bukannya lazat sekadar di bibir sahaja.

(Dipetik dari http://muhakim.blogspot.com )

Bagaimana perasaan anda setelah membaca artikel diatas? Minta maaflah jika ada yang terasa. Saya tahu, bukan mudah bagi segelintir kita untuk mempraktikkannya. Benar, kekuatan seseorang individu itu untuk melaksanakan 'Amar maaruf nahi munkar' itu berbeza-beza. Namun, ingatlah, jika kita tidak dapat melaksanakannya sendiri, nyatakan dengan lisan. Jika tidak mampu, cukuplah dengan hati kita untuk membenci perkara yang tidak disukai Allah. Jika tak dapat nak praktik semua pun, sekurangnya da usaha untuk kita cuba buat supaya majlis pernikahan kita itu diterima Allah sebagai satu ibadah. Sesungguhnya, keberkatanNya untuk rumahtangga yang bakal dibina itu lebih penting dari pengiktirafan dan pujian orang untuk majlis kita yang gemilang dan gah itu.

Kepada yang sudah terlanjur melakukannya, ingatlah firman Allah dalam surah An-Nisa', 110;

"Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan atau menzalimi diri sendiri kemudian beristighfar memohon keampunan nescaya ia dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Wallua'lam...

Sunday, May 22, 2011

Bergantung Hanya Pada Allah

Apa ertinya bergantung kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan? Ini tidaklah bermaksud seseorang itu tidak berusaha, dan hanya berdoa dan bertawakal sahaja, menunggu rezeki datang bergolek. Tetapi, adalah bermaksud melakukan apa jua perkara dengan tujuan mendapat redha Allah semata. Memang biasa kita dengar statement ni kan? Kalau kita tanya mereka yang ada basic agama, terutama bekas student sekolah-sekolah agama, jawapan standard yang kita akan dapat kepada soalan "Apa matlamat hidup kamu?" adalah "Mencari redha Allah..". Seolah-olah ia satu skema jawapan yang semua orang tahu. Tetapi, adakah kita benar-benar faham konsep ini? Dan adakah kita benar-benar mempraktikkan dalam kehidupan kita dan bukan hanya memberi jawapan tanpa memahami konsep sebenar?

Bergantung kepada Allah bermaksud seluruh perkara dalam hidupnya, apa saja tindakanya, apa saja yang dia hadapi, dia melakukannya hanya kerana Allah semata. Konsep ini sangat penting dalam hidup setiap mukmin untuk dia jadikan pegangan hidupnya. 

Apa yang biasa berlaku kepada masyarakat kita adalah salah faham akan konsep ini. Tak perlu untuk kita hanya menilai dan melihat kepada matlamat-matlamat lain yang jelas dan nyata salah, seperti demi pangkat, harta, jawatan tinggi, kekasih hati, pengiktirafan orang lain, pujian, dan sebagainya. Saya lebih tertarik untuk berkongsi dengan anda, pembaca budiman, beberapa situasi dimana, jika kita lihat kepada matlamat-matlamat itu, ia biasa didengar, dan mungkin juga kita sendiri berpegang kepadanya sama ada sedar atau tidak.

Mari kita hayati kisah berikut;

Hidupku Demi Keluarga, dan Demi Suami Tercinta.

Anita dilahirkan di dalam keluarga yang serba kekurangan. Ayahnya telahpun kembali bertemu Allah, meninggalkan ibunya keseorangan menyara dia dan dua adiknya. Alhamdulillah, Anita adalah seorang anak yang taat, rajin, dan cerdik. Dengan izin Allah, dia berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Selama ini, apa yang memberi kekuatan padanya untuk berusaha semaksimumnya, dan menjadi seorang pelajar cemerlang adalah demi keluarganya. Dia ingin membahagiakan ibunya dengan membawa pulang segulung ijazah, kerana harapan ibunya semenjak dia kecil adalah melihatnya berjaya. Dunianya adalah ibunya. Apa sahaja yang dia lakukan adalah untuk ibunya.

Pada suatu hari, Anita mendapat berita bahawa berlaku kemalangan di rumah. Kebakaran telah melenyapkan teratak setinggan yang menjadi tempat keluarganya berteduh, sekaligus meragut nyawa ibunya dan adik-adiknya. Alangkah hancurnya hati Anita mendengar berita itu. Segala usahanya selama ini dirasakan sia-sia. Semua yang dia perolehi sudah tidak bermakna kerana tiada lagi ibunya untuk dikongsikan kejayaan itu. Anita terasa seolah hilang tempat bergantung. Tekanan perasaan hampir meragut kewarasan dirinya. Masa depan terasa gelap.

Dalam keadaan tertekan itu, dia dihampiri seorang lelaki yang segak dan kaya, menghulurkan rasa simpati dan khidmat nasihat serta kata-kata hikmah. Seolah menerima nafas baru, Anita kembali menjumpai 'sinar' dalam hidupnya. Perkenalan dua jiwa membibitkan rasa cinta. Cinta membawa kepada perkahwinan. Tujuan hidupnya kini berubah kepada ingin menjadi isteri yang setia kepada si suami, yang di matanya gagah, sempurna, dan mampu melindungi dirinya. Pengajiannya sanggup dihentikan demi cintanya pada si suami. Setelah beberapa tahun, si suami jatuh sakit tenat. Dia yang dahulunya segak dan gagah, menjadi lumpuh tidak bermaya. Segala urusan hidupnya terpaksa diuruskan si isteri. Hatta mandi pun perlu dimandikan. Tekanan perasaan dan kekecewaan kembali dalam hidup Anita. Harta tinggalan suami semasa sihatnya, semakin berkurangan. Nak cari kerja berbekalkan SPM dah la susah nak dapat, nak kerja pun tak boleh, sebab suami perlu dijaga bagai anak kecil.

Hidup Anita dipenuhi tekanan dan air mata. Dia akhirnya tewas dengan perasaan sendiri, mula menyalahkan takdir dan mempersoalkan mengapa Allah menyeksa dirinya.

Pengajaran kisah   

Apa salahnya di sini? Jika kita lihat sepintas lalu tajuk kisah di atas, seolah-olah tiada yang salah. Demi keluarga, dan demi suami tercinta. Benar, tiada salahnya berhasrat ingin membahagiakan ibu, membela nasib keluarga dan membahagiakan suami. Tetapi, tidak tepat untuk kita meletakkan perkara itu sebagai matlamat dan pegangan hidup. Ini kerana, semua itu adalah milik Allah. Sampai masanya, Allah boleh mengambilnya kembali dari kita. Yang kekal hanyalah Dia.

Pada orang yang hidupnya sentiasa bergantung kepada Allah, sesiapa atau apa-apapun di dunia ini padanya adalah terlampau kecil unuk dia bergantung harap. Sebaliknya, apabila kita bergantung kepada Allah yang menguasai setiap kejadian, kita akan tiba kepada keadaan dimana kita tidak akan kecewa, panik, atau takut. Jiwa akan sentiasa tenang. Kejernihan hati itu membuat segala-gala yang ada di sekeliling, sama ada nikmat rezeki, atau apa saja ujian yang menimpa, menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Seperti kisah di atas, membahagiakan keluarga dan suami dilakukan kerana ia satu ibadah yang disukaiNya.

Allah swt adalah Rabb dan Illah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia lah sebaik-baik tempat bergantung, kerana Allah tidak akan meninggalkan kita. Tetapi jika meletakkan sesuatu selain Allah sebagai matlamat hidup, bersedialah untuk menghadapi kekecewaan.

Semoga saya dan anda dapat kembali memperbaharui niat kita, dan memperjelaskan prinsip serta pegangan hidup kita, serta mengaplikasikannya dengan sebaiknya dalam kehidupan kita sehari-hari. Semua manusia mudah lupa. Sama-sama kita ingat memperingati dan berpesan-pesan kepada kebaikan...insyaAllah... 


(Rujukan: Bab 1, Erti Hidup Sebelum Mati, Indahnya Kematian, Bisri M.Djaelani, PTS millennia Pubication, 2011)

Thursday, May 19, 2011

Indahnya Kematian...

Sejak saya disyaki menghidap kanser, ramai sahabat, kenalan rapat, dekan dan pensyarah universiti, ahli keluarga, rakan-rakan umi dan abah, jauh dan dekat, datang menziarahi saya tidak kira di hospital mahupun ketika sudah pulang ke rumah. Bersama mereka yg datang, ada yang menimbulkan kisah-kisah tentang kenalan-kenalan mereka yang menghidap kanser. Saya yakin, tujuan mereka bukanlah menakutkan saya yang sedang bertarung dengan perkara yang sama, tetapi lebih kepada ingin berkongsi cerita tentang perjalanan hidup dan kesudahan yang terjadi kepada penghidap-penghidap kanser tersebut.


Benar, banyak juga iktibar dan pengajaran yang boleh di ambil dari kisah-kisah itu. Tetapi, saya boleh katakan majoriti kisah-kisah mereka berakhir dengan kematian. Ini membuatkan saya sendiri merasa kematian begitu dekat dengan diri ini. Pada mulanya saya diberitakan tentang penyakit yang dihidapi, doktor telah meyakinkan saya bahawa penyakit saya ini ada lebih 80% peluang untuk sembuh sepenuhnya. Mulanya, saya berasa agak tenang. Tetapi, bila difikirkan semula, ada lagi 20% yang akan berakhir dengan kematian. Jadi, saya tidak seharusnya begitu yakin yang saya akan tergolong dalam 80% itu.

Ada ketikanya timbul perasaan risau dalam diri ini. Saya cuba menahan nafas seberapa lama yang boleh, sakitnya dada tidak tertahan, terpaksa dihirup kembali udara Allah...jadi, bagaimanakah rasanya Mati? Jika setakat menahan nafas pun sudah tak tertahan? Apabila saya terbayang betapa sakitnya sakaratul maut, dan bagaimana agaknya Allah s.w.t ingin menghentikan nafasku dan degupan jantungku, jiwa diruntun rasa takut...patutkah rasa takut? Ya...saya takut. Bukan sahaja saya takut akan kesakitan sakaratul maut itu, tetapi yang utama adalah apa yang menanti selepas itu. Kerana bagi setiap yang bernyawa, mati itu pasti. Setiap yang bernyawa akan ada peluang masing-masing untuk merasai sakitnya mati, pada waktu yang pasti, tidak berubah walau sedetik dari ketentuan ajalnya. Dengan keadaan itu, manusia tiada upaya. Apa yang saya lebih takutkan adalah persediaan diri saya untuk menghadapi alam selepas kematian. Alam barzakh, dan akhirat yang pasti.

Apabila memikirkan keadaan diri yang ada 20% peluang untuk menghadapi kematian, (hanya secara logika matematik, saya tahu ajal akan menjemput sesiapapun bila tiba masanya walaupun ketika dia dalam keadaan sihat), semakin terasa diri ini belum bersedia menerima kematian dengan senyuman. Seperti para syuhada' yang gugur di medan jihad...mereka pergi dengan tenang dan tersenyum...disambut bau haruman syurga, dan tangan-tangan halus para bidadari...terasa diri begitu kerdil...begitu jauh dari mereka...Mampukah saya menghadapi kematian dalam keadaan serupa? Dengan amalan yang tidak sebanyak mana? dengan jiwa yang masih dinodai karat-karat jahiliyah? Astaghfirullahala'zim...Ampunilah dosa-dosa hambaMu ini ya Allah...Aku tidak mungkin masuk apatah lagi menghidu bau syurga melainkan dengan rahmat dan redhaMu...

Hati diruntun rasa ingin tahu yang kuat. Bagaimanakah caranya ingin merasai indahnya mati? Dan bukan merasa risau dan takut? Dengan izin Allah, satu hari, umiku sayang menghulurkan sebuah buku. Buku itu muka hadapannya menunjukkan gambar pemandangan, tetapi bila diteliti, rupanya ia dari perspektif seseorang yang sedang berada di liang lahad. Namun, disebalik lubang tanah yang dalam itu, terdapat pemandangan yang indah. Menarik design covernya. Tajuknya lagi menarik. "Indahnya Kematian", nukilan seorang penulis dari yogjakarta, indonesia, bernama Bisri M.Djaelani. Menarik sungguh buku ini. Saya membuka beberapa helain pertama, membaca prakata dan sinopsisnya.

Alhamdulillah. Allah memberi ilham pada umi untuk membelikan buku ini. Ia membicarakan tentang cara-cara, berpandukan Al-Quran dan As-sunnah, untuk seseorang mukmin memperoleh 'Husnul Khatimah'... pengakhiran yang baik. Gaya bahasa yang santai dan mudah difahami, penceritaannya disulami kisah-kisah sirah yang penuh iktibar dan teladan... juga menceritakan apa yang menanti kita selepas kematian.. Ia juga bukan sekadar cakap-cakap kosong, tetapi adalah hasil rujukan dari kitab-kitab tulisan para ulama' mu'tabar... Kini, saya dalam proses mengkhatamkan buku ini. Mungkin di lain waktu saya akan berkongsi dengan anda intipatinya. Semoga saya, dan anda, juga memperoleh 'Husnul khatimah', insyaAllah....      

Friday, May 13, 2011

I'm home...^_^

"Kakak, umi ni tak ada pengalaman jaga anak baru pembedahan. Kakak tolong umi ya. Jaga diri kakak, macam kakak di hospital...tolong jangan buat kerja-kerja rumah, naik turun tangga...umi kat tempat kerja jadi resah teringat kakak sorang di rumah ni..." Ujar umiku sayang dengan muka risau teramat. " Tapi umi...rumah...huhu..." Tidak jadi aku teruskan kata-kata melihatkan raut wajah umi.." Baik umi..."

Aku adalah anak perempuan sulung. Jadi, memang menjadi kebiasaanku jika berada di rumah untuk membantu umiku melakukan kerja-kerja rumah. Umi memang sibuk orangnya. Jarang sekali umi boleh melakukan segalanya dengan sempurna seorang diri. Jadi, bila kulihat rumah tidak kemas, aku jadi gelisah. " Kerja rumah tak apa..biar umi buat.." umi meyakinkan aku...Semalam, dek kerana terlupa yang diri ini baru operation, aku hampir mengangkat kerusi meja untuk disusun. "MasyaAllah...Kakak! Kenapa angkat kerusi tu...beraat..ya Allah..anak umi sorang ni. Kakak kan sakit..." Di waktu lain pula, " Kakak...kenapa jalan laju sangat ni? Kalau tersadung, jatuh terlentang umi nak buat macam mana?"

Aku seringkali terlupa bahawa diri ini dah tak macam dulu. Dulu aku ligat bergerak, buat itu ini dengan pantas. Perkara yang paling aku tak tahan adalah melengah-lengahkan kerja. Kini, aku perlu sesuaikan diriku dengan keadaanku. Banyak perkara perlu diubah. Contohnya, pergerakanku harus dengan perlahan dan hati-hati. Aku juga tidak boleh mengangkat barang, atau melakukan kerja-kerja berat. Walaupun luka luaran semakin sembuh, luka dalaman mengambil masa yang lama. Hentakan atau tekanan boleh melambatkan proses penyembuhan. Aku sering lupa. Tapi, bila teraktif tiba-tiba, aku dapat rasakan kesakitan di bahagian pembedahan. Teringat kembali pesan umi...

Namun, perkara yang paling memberi kesan padaku kini adalah pemakanan. Makanan-makanan yang melambatkan penyembuhan luka, atau menyebabkan penularan kanser, harus dijauhi sama sekali!! Kalau nak disenaraikan apa yang tak boleh makan, memang boleh bermuka-muka surat..." Tak apa kakak...sabar ya..Allah tuntut orang mukmin jaga kesihatan diri...ini usaha kita melalui pemakanan. InsyaAllah rezeki Allah tu luas. Banyak lagi benda kakak boleh makan...Di syurga kakak boleh makan apa saja kakak nak..." Pujuk umi bila raut wajahku berubah sedih melihatkan makanan kegemaran di depan mata, tapi tak boleh dijamah. 



Manusia selalu begitu. Bila ditarik nikmat itu, baru nak pandai hargai. Seperti di saat aku 'terkurung' di hospital. Terasa diri bagaikan burung layang-layang yang tercedera. Kulihat langit diluar cerah, biru, dihiasi kepulan awan. Bebasnya burung-burung itu terbang...

Astaghfirullahalazim...Aku patut bersyukur masih mampu bernafas menghirup udaraMu...Aku patut bersyukur masih mampu melihat, mendengar, merasa makanan, berfikir dengan waras, berjalan...sungguh banyak lagi nikmatMu tak terkira...kenapa berkeluh kesah dengan nikmat sedikit yang ditarik sementara, sedangkan nikmatNya yang lain, di sana sini kita kufuri? Ayuhlah wahai diri...basahkan bibirmu dengan zikrullah...Inilah saat keemasan...jauh dari kesibukan dunia....Di saat inilah aku patut mengambil peluang mendekatkan diri padaNya... Ya Allah...Bantulah hambaMu yang lemah ini....         

Wednesday, May 11, 2011

Owh...Begini rasanya menjadi pesakit...

Tidak lama dahulu, aku melalui koridor-koridor hospital dan berjalan di dalam wad dengan berkot putih, stetoskop bergantungan di leher, dan menjinjit buku-buku nota kecil. Seorang pelajar perubatan. Seorang bakal doktor. Namun di mata pesakit, terutama yang datang dari luar bandar, kami tidak banyak bezanya dengan doktor-doktor lain. Mereka merelakan saja diri mereka menjadi 'mangsa' kami. Disuntik jarum besar dan kecil, diambil darah dari vena dan arteri, dicucuk branula, diperiksa bahagian-bahagian tubuh mereka. Dengan sabarnya mereka melihat dan tersenyum saja dengan karenah kami, dikala kami tersalah dan tersilap.

Sebelum ini, aku belum pernah merasai menjadi seorang pesakit di hospital. Kini telah kulalui sendiri pengalaman itu sepanjang lapan hari aku di Hospital Sungai Buloh menjalani rawatan. Sungguh, pengalaman ini sangat berharga buatku. Aku kini faham mengapa ada sesetengah doktor-doktor pakar sangat menitik beratkan adab seorang doktor bersama pesakitnya. Aku masih ingat lagi kata-kata seorang pensyarah senior yang ku sangat hormati;

" Doctors are not gods and angels, they are servants of their patients. Treat them with dignity, humility, and respect no matter who they are or where they are from…"
Seorang doktor itu bukanlah tuhan atau malaikat, mereka adalah orang suruhan kepada pesakit mereka. Layanilah pesakit anda dengan bermaruah, rendah diri, dan hormat, walau siapa dan dari mana mereka datang…

Kini aku benar-benar fahami maksud kata-kata ini. Bila diri ini pula menjadi 'mangsa' tusukan jarum-jarum, diambil darah dan sebagainya, kini ku fahami perasaan itu. Kepada sahabat-sahabat seperjuanganku, tahukah anda, tusukan jarum berwarna hijau itu sangat menyakitkan berbanding biru? Aku dah rasainya sendiri…

Ku ingati kembali kata-kata mereka;

Doktor houseman A : " Ala…patut la kau susah sangat nak ambil darah patient, kau guna biru kenapa? Kecik sangat, lambat la…setiap kali kau guna jer jarum hijau, senang jer dapat banyak, macam aku buat selalu.."

Doktor houseman B : " Adik kalau nak ambil darah patient, guna warna biru tau. Biar slow takper, kita sabar ambil asalkan patient tak sakit. Lain la adik memang nak ambil banyak sampai 20cc.."

Yang menyedihkan aku, houseman A adalah muslim, houseman B pula non-muslim, namun beliau punyai syaksiah yang cukup baik. Adakah beban kerja membolehkan houseman A meletakkan 'nak cepat dan mudah' sebagai alasan untuknya tidak memberi layanan terbaik kepada pesakit? Aku pasti, doktor houseman A itu tak pernah rasa kena suntik dengan jarum hijau...

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi, tahukah anda disuntik 'Branula' itu juga sangat sakit? Aku dah rasainya sendiri...berkali-kali sepanjang di hospital. Setiap kali aku perlu dipasang branula semula kerana sudah 'block', kesakitan yang ku rasai mengingatkan aku kepada semua pesakit-pesakit yang pernah menjadi mangsa pemasangan branula oleh tanganku yang kurang mahir. Aku pernah cuba dan gagal dan cuba semula, namun pesakit itu hanya tersenyum. Semoga dengan kesakitan yang ku rasai dapat menebus dosaku menyakiti pesakit-pesakitku dahulu.



Aku melalui pengalaman dibedah. Pembedahanku agak besar, menghasilkan luka vertikal hampir 15 cm di perutku. Masih jelas di ingatanku pengalaman 'menakutkan' itu, di kala tubuhku disediakan untuk pembedahan. Jarum bius perlu disuntik di bahagian tulang belakangku untuk menyediakan bius epidural. Aku disuruh bertenang kerana pakar bius tak dapat menjumpai tempat suntikan bila aku mengeraskan tubuhku. 


Bertenang...mudah saja mereka memberi arahan...Bolehkah anda bertenang jika jarum sepanjang 5 cm ingin menusuk tulang belakang anda?? Aku cuba untuk bertenang, namun...dapat ku rasakan tusukan jarum pertama, aduh! Sakitnya Allah saja yang tahu...tusukan tidak kena pada tempatnya, gagal. Aku disuruh bertenang lagi.. Tusukan kedua...sakitnyaa...gagal lagi... Perasaanku ketika itu sukar di tafsir dengan kata-kata...Aku teringat dulu diriku bebas membuat pilihan dalam apa-apa perkara...kalau tak suka, tak payah buat..mudah saja... kini aku tersepit. Aku sangat tak suka disuruh bertenang dan disuntik tulang belakangku! Rasa seperti ingin lari saja dari meja bedah itu. Tapi, aku tiada pilihan. Aku perlu bertenang, kalau tak gagal lagi tusukan kali ini... 


Bertenang ummu..ingat Allah...Air jernih mengalir dipipiku dan esakan kecil kedengaran tanpa rela...aku pasrah ya Allah...Tusukan ketiga berjaya..Alhamdulillah. Aku sangat bersyukur padaNya bila pakar bius berkata.." Ok adik, dah siap epidural.." Terasa jiwaku lapang...lega teramat. Bius pembedahan pun dimulakan. Aku dibius seluruh badan dan ditidurkan sepenuhnya... Empat jam pembedahan berlalu dengan pantas. Aku tersedar semula dengan pedih luka pembedahan di perutku…Alhamdulillah. Pembedahanku berjaya..   

TO BE CONTINUED….